Biasa isteri ingat, belanja rumah dengan duit nafkah adalah sama. Kiranya kalau suami beri, itulah digunakan untuk diri dan rumah.
Untungnya suami, kalau isteri sama-sama bekerja untuk meringankan beban keluarga. Jadi, belanja rumah tak adalah suami pening sebab ada bantuan daripada isteri yang sudi berkongsi.
Tak mustahil juga, ada suami sanggup pejamkan mata dan buat tak tahu, mentang-mentanglah isteri tidak meminta-minta.
Dalam hal ini, sebagai seorang suami, anggungjawabnya cukup besar pada keluarga terutamanya dalam memberi nafkah pada isteri. Jangan ingat, sudah memberi duit belanja rumah bagi membeli keperluan keluarga sama saja maksudnya memberi nafkah juga.
Jangan salah tafsir, isteri tak minta tak bermakna suami boleh pejam mata. Fikirkan pasal tanggungjawab. Lebih penting, bila berumahtangga, isteri sanggup berkorban dan dia tahu kelebihan dan kekurangan suami.
Dia pun tahu kemampuan suami setakat mana dan tidak akan minta lebih di luar kemampuan suami. Jadi, suami kena ingat tu.
Bagi perkongsian Cek Aien ini turut menekankan tentang beza belanja rumah dengan duit nafkah. Suami jangan kedekut, sedikit cara sedikit. Ada lebih, bagilah lebih.
Perkara penting yang golongan suami perlu utamakan setiap kali dapat gaji selain bersedekah atau duit belanja mak ayah, adalah memenuhi nafkah isteri.
Mungkin acap kali kita dengar bila kedekut dengan isteri, rezeki akan sempit. En.Suami lupa bahawa pasangan kamu adalah seorang wanita, ibu dan juga isteri yang tampak lemah, tetapi redha dan doanya tinggi diangkat Allah.
Ads
Wahai En.Suami, janganlah dipejamkan mata untuk nafkah isteri kesayangan tuan. Dapat sikit, beri sikit. Dapat lebih, berilah apa adanya yang tuan ikhlaskan.
Bahkan jika tuan bergaji RM 15,000. Isteri tuan bekerja makan gaji RM 5000 sebulan, walau pada pandangan mata tuan isteri dah tak layak.. tetap juga tuan wajib berikan nafkah padanya.
Begitu juga sebaliknya, tuan bergaji RM 1000, isteri bisnes online RM 10,000 sebulan. Tetap juga menjadi kewajipan jalankan tanggungjawab menafkahi isteri meskipun dia bergaji besar dari tuan.
Kadang acap kali kita dengar, suami samakan makan, pakai, tempat tinggal adalah nafkah yang dah ditunaikan.
Padahal si suami lupa, mana duit belanja untuk syampoo, sabun yang biasa isteri guna sebelum bernikah ? Mana duit belanja untuk penadol, minyak cap kapak sakit pening isteri yang dah handle anak-anak ? Mana duit mesin pam susu buat isteri tuan yang bengkak susu selepas bersalin? Mana pula duit untuk handbag yang dah koyak mahupun kasut yang dah rosak gantian yang isteri inginkan ? Tu jauh sekali bila cakap bab holiday kan.
Dan biasa jugak kita dengar.. isteri yang bekerja, suami dah tetapkan sekian-sekian duit isteri untuk penuhi ketidakmampuan suami untuk segala hal rumahtangga. Pampers, api air, makan minum anak, susu pakaian anak, mainan, botol susu, belanja sekolah, tusyen kelas tambahan, yuran taska, duit van bas sekolah, perubatan anak, duit hantar pengasuh, baju mahupun keperluan sekolah – semua dibahagikan sama rata duit isteri bekerja dan suami.
Itu kalau isteri redha.. isteri halalkan.. isteri tenang hatinya tanpa simpan sebagai hutang, tidak mengapa.
Jangan Kedekut
Jangan kedekut dengan isteri. Pastikan betul-betul, adakah isteri dah menghalalkan segala hutang nafkah yang suaminya tak lunaskan tu?
Ads
Takut pula jika isteri rasa terbeban dan jatuh martabat lelaki yang mencuaikan tanggungjawabnya. Kasihannya suami yang kelak di hadapan Allah akan dihisab sebagai manusia yang zalim terhadap pasangannya.
Pengalaman orang yang Cek Aien kenal, isteri terpaksa pulangkan semula duit suami sebab suami buruk siku minta balik ketika mana isteri dah pakai duit yang diizinkan tu untuk modal berniaga. Terus suami mendesak isteri kembalikan barang niaga dan meminta duitnya tu semula dengan kata kesat, mengherdik dan membuka segala aib-aib memalukan isterinya.
Makan isteri dan anak-anak berkira, sampai isteri kadang keluarkan duit sendiri. Dalam tak sedar si suami dah berhutang dengan isteri. Kasihan pada isteri yang terpaksa memendam banyak perkara di dalam hati sendiri. Kadang tuan nampak isteri seakan tidak kisah, tuan dah ke selami hati dia? Si isteri hanya memilih untuk diam sebab tak nak melukakan suami yang mungkin akan menyebabkan pergaduhan.
Kalau benar-benar kita perasan, pasangan bahagia selalunya si suami tidak kedekut dengan isteri. Si isteri dapat sebotol deodorant Amway pembelian dengan cik Nur Shariza pun dia dah happy dah. Percayalah, si isteri tak akan pernah minta sesuatu yang diluar kemampuan suaminya. Apa yang dia perlu, hanya keikhlasan dan belas ehsan cuma.
Cuba perlahan-lahan menafkahi isteri dari seringgit dua kepada puluhan ringgit sehari. In sya Allah rezeki tuan akan semakin lapang kerana diberkati Allah.
Seringgit yang tuan belanja untuk isteri adalah pemberian yang sangat mulia nilainya di sisi Allah. Kerana telah menunaikan hak dan tanggungjawab yang diamanahkan. Mendapat ganjaran pahala sedekah kepada keluarga. Allah dah kata, Allah tinggikan darjat lelaki (suami) kerana memberi nafkah kepada perempuan (isteri).
Jangan kerana isteri bekerja makan gaji atau berniaga online dan mungkin ada harta pusaka. Tuan biar diri berdosa tidak keluarkan nafkah. Mungkin kadang niat isteri mulia, redha apa adanya. Niat yang baik itu kadang mengundang musibah. Allah tak suruh begitu.
Ads
Allah minta lelaki menafkahi wanita. Allah tinggikan darjat lelaki kerana menafkahi pasangannya. Minta duit belanja dari suami usah malu-malu, Usah kasihan dengan mata kasar tapi kasihanlah dengan mata hati, kelak apa sang suami nak jawab disisi Allah ?
Wahai En.Suami, jadilah suami yang bertanggungjawab, sayangilah isteri.. jagalah hatinya dan selamilah perasaannya.
Permaisurimu adalah asbab salah satu punca rezeki yang tak putus malah melimpah ruah. Cinta dan sayangi dia sesungguhnya. Semoga kita semua terus bahagia dan mendapat keberkatan Allah SWT.
Kreadit : Ustazah Asma Harun yang banyak mendidik diri ini menjadi wanita yang bersyukur apa adanya.
Mingguan Wanita : Tunailah tanggunjawab sebaiknya. Ini juga salah satu asbab rezeki suami melimpah ruah.
“Ini kali pertama suami saya kantoi curang di belakang saya. Suami berjanji takkan ulangi lagi tapi saya rasa tertipu sangat. Perlukah saya berikan dia peluang?” – Soalan daripada salah seorang klien berusia 35 tahun. Merujuk persoalan, manusia bersalah, itu pasti. Manusia tersalah, itu juga satu kepastian yang tidak boleh dikeji.
Hanya dengan kemaafan, kesilapan boleh diterima sebagai air yang mengalir, sejuk dan mendamaikan, tidak lagi menyakitkan hati. Cuma, apakah hanya dengan memaafkan, peluang masih ada? Wajarkah peluang diberi?
Sukar Melupakan
Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan dan dalam masa yang sama tidak mampu lagi memberi peluang. Apakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Koreksi diri, setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada perkara yang menyebabkan kita berdosa kepada manusia malah kepada Allah Yang Maha Berkuasa.
Berulang Kali Membuat Kesilapan
Malah ada manusia yang berulang kali melakukan dosa saban hari hingga ke malam. Tika rasa mengantuk mendatang, kita di’mati’kan sementara dan di’hidup’kan semula awal pagi esoknya.
Walau ada yang ‘tidur’ terus kerana tidak dikembalikan-Nya nyawa, kita yang mampu terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik – sebagai isteri atau suami, sebagai ibu atau bapa atau anak, sebagai pekerja atau majikan, sebagai jiran atau saudara malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hamba yang mengaku beriman kepada-Nya.
Andai Allah SWT masih kekal memberikan kita peluang saban hari dan masa, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?
Dikhianati
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar untuk memberi peluang pada pasangan membuktikannya telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan tetapi kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk menjerat diri agar tidak percayakan pasangan lagi. Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah seperti dipersalahkan sepanjang hayatnya.
Semua Orang Tak Lepas Daripada Buat Silap
Ramai yang seakan terlupa, rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan.
Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya? Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada tikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Berapa Kali Patut Diberikan Peluang?
Sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minima malah tidak juga ditetapkan had maksima.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan reda dengan kesan daripada tindakan anda memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.
** Artikel ini dikongsikan oleh Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan RESIPI HIDUP dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa keduanya keluar bekerja, anak ditemui meninggal jatuh bangunan dari tingkat 7. Sudah sampai ajalnya, tak akan terlambat walaupun sesaat.
Berat sungguh ujian buat keluarga ini apabila anak yang ditinggalkan sihat ketika mereka keluar mencari rezeki, apabila pulang hanya jasad tidak bernyawa di depan mata.
Anak DiTemui Meninggal
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5 itu, mangsa dikenali sebagai Keisha Nawrah Md. ditemui orang awam di bawah bangunan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa sempat diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Jatuh Bangunan Tingkat 7
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut namun, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 malam.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa tinggal bersama kakak berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah.
“Semasa kejadian itu, ibu bapa mangsa yang juga penjawat awam keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan mendapati mangsa berada di dalam bilik tidur seorang diri dan sedang belajar, manakala bilik berkunci dari dalam dengan keadaan jeriji tingkap tidak berkunci.
A. Asmadi memberitahu, sebaik ibu bapa mangsa pulang ke rumah, mangsa didapati tiada di dalam bilik dan keadaan tingkap terbuka sebelum menyedari orang ramai berkumpul di bawah bangunan.
“Ibu bapa mangsa kemudian bergegas ke bawah bangunan dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan kritikal.
“Kami tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian dan pemeriksaan doktor mendapati, mangsa patah dua belah siku dan kaki kiri. Kecederaan lain akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.
Mingguan Wanita : Salam takziah buat keluarga ini, semoga mereka kuat berdepan dengan ujian berat ini. Al-Fatihah.
’20 tahun kahwin, orang nampak indah.’ Kalau tiada sifat sabar, memang tak kekal rumah tangga. Dalam masa 20 tahun sudah pelbagai onak dan duri mak ayah lalui.
Bukan mudah kerana rumah tangga yang dibina tak selamanya bahagia, pasti ada pasang surutnya. Namun selagi sifat sabar wujud dalam hati, insyallah 10, 15, atau 30 tahun rumah tangga akan berkekalan seperti mana yang dikongsikan Loveta Scarves by Siti Sarah ini.
Sebenarnya, kunci kepada lamanya perhubungan itu adalah sabar. Orang akan nampak macam 20 tahun itu adalah tempoh yang seronok, yang bahagia, walhal dalam 20 tahun itu sudah macam-macam yang jadi dalam rumah tangga.
Sudah pernah ada rasa nak berpisah, malah pernah ada rasa nak mengalah, sudah pernah ada rasa tawar hati. Juga pernah ada rasa nak hidup sendiri. Kalau bukan disebabkan sifat sabar yang ada dalam hati itu, tak mungkin dan hampir mustahil untuk bertahan selama tempoh tersebut…
Sepanjang tempoh mendirikan rumah tangga, ada naik turunnya. Ada ketikanya bahagia dan ada masanya bermasam muka. Bukan hari-hari kita gembira dan bukan juga hari-hari kita berduka…
Sabar dalam rumah tangga ini tak terhad kepada sabar dengan sikap dan perbuatan pasangan semata-mata. Ada orang bersabar dengan mertua. Kemudian ada orang bersabar dengan ipar duai.
Kalau Tiada Sifat Sabar
Malah, ada orang bersabar dengan orang ketiga, selepas itu ada orang bersabar dengan kesusahan keluarga, ada orang bersabar dengan ujian kesihatan. Serta ada orang bersabar dengan rezeki Allah SWT dan sebagainya.
Kalau sabar itu tiada di hati, dalam beberapa bulan sahaja hubungan itu sudah tamat atau sudah diletakkan titik hanya kerana tak sabar…
Tak sabar dengan sikap dan perbuatan pasangan, atau tak sabar dengan mulut mertua dan tak sabar dgn karenah ipar duai. Segelintir pula tak sabar dengan kehadiran orang ketiga, ada juga tak sabar hidup susah dan sebagainya…
Uniknya hati itu kerana hati sentiasa berpesan dan menasihati diri serta akal untuk terus menanti sesuatu yang tak pasti…hati kalau sudah sayang, akan sentiasa meletakkan harapan dalam hubungan itu agar ianya berkekalan…
Selagi hati boleh bersabar, maka selagi itulah hubungan akan berjalan walaupun ianya tidak selancar yang difikirkan…
Untuk berada dalam tempoh 15 tahun, 20 tahun perhubungan bukanlah sesuatu yang sukar, namun ianya juga tidak semudah yg disangkakan…
Hanya SABAR sebagai peneman…
Nota Kaki : Ada orang, kesabaran dia hilang selepas 20 tahun…disaat kesabaran dia hilanglah dia mula untuk buat pilihan yang baru kerana dia sudah cukup lama bersabar….
Mingguan Wanita : Kalau hilang sabar, hancurlah segalanya.
Kematian Nurul Asyura mengejutkan keluarga dan mengundang kesedihan mendalam. Ikuti kisah penuh detik cemas, luahan pilu si ibu dan perkembangan terkini mengenai punca kejadian.