Apa Seronoknya Ada 7 Adik Beradik Perempuan?

Saya anak sulung daripada tujuh beradik perempuan. Alhamdulillah, sehingga kini masih hidup dengan harmoni. Enam sudah berkahwin, tinggal seorang yang masih belajar di USM, mengambil jurusan Komunikasi, mengikut jejak langkah kakak sulungnya ini.

Sama macam adik beradik lelaki, adik beradik perempuan juga suka bergaduh termasuk kami. Tapi lain cara bergaduhnya. Tarik rambut tu perkara biasa sambil saling kejar mengejar sekeliling rumah. Itu adalah antara kenangan ketika kecil.

Zaman membesar, rumah kami jadi perhatian ramai. Mana taknya. Rumah yang ada ramai anak dara. Orang kata, rumah kami nampak cukup ‘berseri’ walau pun sebenarnya rumah kami biasa saja. Rumah Felda. Jarak usia antara kami dua ke tiga tahun.

Kecuali si bongsu yang agak jauh. Ketika adik keenam berusia 8 tahun baru dia lahir. Mak kata, kes ‘accident’. Tapi dialah adik yang paling kami sayang, kami gelarkan dia sebagai ‘Chu’. Kini jadi kesayangan 10 orang anak saudaranya. Garang tapi sangat penyayang.

Sejak dulu kami berbagi tugas jika di rumah. Ada yang memasak, mengemas, menyapu sampah dan membasuh baju. Bangun pagi, masing-masing sudah tahu tugas masing-masing. Sehinggalah sekarang jika kebetulan giliran beraya di rumah mak ayah, kami akan berbagi tugas.

IKLAN

Tugas ‘mengasuh’ anak-anak diserahkan kepada adik bongsu. Jadi mak-mak boleh buat kerja dengan tenang kecuali ada yang hendak menyusu badan. Itu memang tugas Chu sejak dahulu lagi. Dia memang ‘teror’ bab mengasuh anak-anak saudara.

Kami pula ‘redha’ telinga saja bila dengar dia membebel dan marah anak-anak buah. Tapi takkan simpan di dalam hati kerana tahu dia sayang anak-anak buah macam anaknya sendiri.

IKLAN

Apa Seronoknya Ada 7 Adik Beradik Perempuan?

Sepakat Sedondon Satu Keluarga

Mungkin kerana kami semua perempuan, jadi kami mudah sepakat dalam apa juga keputusan. Kami sekepala. Bila balik kampung dan berkumpul ramai-ramai, kami suka duduk berborak bersama. Riuh rendah sedangkan setiap hari pun ‘jumpa’ di dalam grup whatsapp famili.

IKLAN

Bila hari raya, tahun ini tahun ke 11 kami berpakaian sedondon seluruh keluarga besar kami. Daripada mak, ayah sehinggalah cucu-cucu. Ramai juga yang kagum bagaimana kami boleh sedondon satu keluarga besar.

Entahlah. Mungkin dah terbiasa sejak lama. Tapi, mungkin juga sebab kami semua perempuan. Jadi kami boleh sepakat. Jika ada ipar perempuan, mungkin berbeza. Entahlah kan.

Saya juga dipanggil ‘ibu’ oleh anak buah saya yang lain. Mungkin kerana mereka mendengar anak saya yang merupakan yang paling tua antara sepupunya memanggil saya ‘ibu’. Jadi, adik-adik sepupunya yang lain turut mengikut panggilan itu. Seronok juga kerana saya rasakan saya hanya ada seorang anak sahaja, tapi ada 10 orang anak.

Soal pertelingkahan pendapat perkara biasa. Tapi kena pandai-pandai selesaikan dan masing-masing kena berlapang dada dan tidak menyimpan dendam di hati. Kata orang, air yang dicencang tidak akan putus. Begitu juga dengan hubungan di antara adik beradik.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI