Ada Rahsia Di Sebalik Jemputan Viral Makan Langsat Percuma Di Kuala Pilah

Cerita jemputan makan langsat percuma sepanjang cuti sekolah dah viral di kalangan netizen. Agak-agaknya dah ada yang siap sedia nak menyinggah ke Kg Bukit, Senaling, Kuala Pilah. Sebab tawaran ini bermula esok.

Ketika wartawan Mingguan Wanita menghubungi Khamaruzaman Yusof maklumnya ada cerita di sebalik posting bertarikh 12 March lepas.

“Inilah power of derma.” Khamaruzaman percayakannya dan idea sedekah sebegini sudah dipraktikkan sejak tahun 2011.

“Waktu itu mana ada fb. Saya jemput mulut. Adalah geng sekolah datang rumah makan buah-buahan. Ikut rezeki, kalau ada durian belanda, itulah yang saya sedekah. Macam sekarang ini yang ada langsat. Insya-Allah lepas ini dokong pula.

Konsep Sedekah

Bersedekah tak menjadikan dirinya miskin. Ada rezeki lain yang Allah beri padanya. Pokok-pokok berbuah lebat, hasilnya di sedekahkan kepada orang ramai.

“Saya tak jual pokok dekat rumah saya. Pokok durian Belanda yang dimasukkan dalam beg polybag saya dijual di sekitar Kuala Terengganu, ada juga di Shah Alam.

IKLAN

“Saya pernah bawa pokok durian belanda dalam 1000 pokok. Kadang saya letak di masjid Al-Huda, Seksyen 19 Shah Alam. Pernah saya bertemu seorang pelanggan, Haji Basar Juraimi yang beli dua beg durian Belanda. Bila masuk dalam kereta saya buka sampul, dia beri lebih dari harga pokok. Saya hubungi semula bimbang ada kesilapan, rupa-rupanya begitulah Allah jalankan kerjanya.

“Dalam al-Quran juga ada sebutkan hal sedekah ini. Ganjarannya berlipat kali ganda. Saya percaya dengan janji Allah ini.

“Macam-macam ujian dah saya lalui. Pada 27 Januari 2007, saya tebang pokok misteri dekat belakang bus stand Kuala Pilah. Tiba-tiba saya tumbang dan alami kecacatan. Kaki kiri pendek 5 inci. Jauh saya berubat sekarang pulih sedikit demi sedikit.

“Orang rumah saya pun terkena. Dah 16 tahun lumpuh. Alhamdulillah, saya setia pada yang satu.

IKLAN

Bukan itu saja, Khamaruzaman juga pernah terpaksa menjual segala harta yang ada demi merawat sakitnya. Ketika jatuh terduduk, Allah hantarkan pertolongan untuknya. Dari situlah dia nampak dengan jelas ganjaran melalui sedekah yang diamalkan sebaik melalui ujian yang amat perit.

Dari Pilah Ke Chiang Rai

Dalam usia 56 tahun Khamaruzaman memasang impian; memandu Dutsun lama dengan enjin yang dibaiki sendiri dari Kuala Pilah ke Chiang Rai, Thailand dan terus ke Laos.

“Ikut perancangan saya bertolak dari Pilah sebelah pagi, Subuh di Ipoh, memandu 17 jam non-stop, singgah di Phuket dan direct ke Chiang Rai.Dari Chiang Rai ke Laos.”

“Ada yang kata dulu bolehlah sebab muda, kudrat sekarang dah berbeza. Tapi saya tahu kekuatan saya. Saya yakin kerana saya tahu sistem kenderaan saya.

IKLAN

“Muda dulu saya pernah memandu dari Illinois ke Arizona. Dan beberapa siri jelajah pernah saya buat. Kali ini saya mahu penuhi impian dalam usia ini. Nanti setiap tempat yang ada perkataan ‘Welcome to…” akan saya abadikan dalam bentuk kenangan bergambar.”

Keturunan Bertukang

Kecacatan tak pernah halang tenaga tua ini hasilkan kerja seni yang gah. Berdekatan kebun langsat seluas 2.4 hektar itu ada kerja-kerja seni ukiran yang tinggi nilainya.

“Meja kraf ini saya jual. Saya memang dari keturunan pandai bertukang. Ada juga yang bertanyakan meja-meja kayu yang saya buat ini. Yang itu, boleh dirunding sampai jadi.”

Dan percayalah, dengan konsep bersedekah yang Khamaruzaman praktikkan Allah telah memudahkan rezeki lelaki ini mencapai impiannya. Mari kita sama-sama doakan kejayaan beliau.

Semoga kisah beliau menjadi cerita inspirasi rakyat Malaysia. Tika ini, ada di kalangan anak-anaknya mengikut jejak beliau bermurah hati dalam soal bersedekah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI