• 4.4K
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    4.4K
    Shares

Baru-baru ini, Mingguan wanita ada kongsikan video yang menjadi viral di Facebook, apabila seorang kanak-kanak lelaki, ralit mengalunkan bacaan Al-Quran. Memetik sumber Metro Tv, budak lelaki tersebut ialah Ahmad Ziyyad Mohd Zahir baru berusia dua tahun lapan bulan namun sudah berjaya menghafal 42 Surah seperti Al Waqiah dan Ar Rahman termasuk semua ayat lazim Muqadam.

Menurut ibunya,Nurul Shahida Lukman, 27, bacaan al-Quran menemani hidup anaknya sejak dari kandungan hinggalah kini. Itulah penghiburnya setiap hari. Ahmad Ziyyad mula menghafal ayat al-Quran sejak berusia 11 bulan lagi.

Sebenarnya, tidak mustahil untuk anak-anak menghafal Quran sejak dari kecil, apatah lagi, mereka ibarat kain putih, mempunyai memori yang sangat bagus untuk mengingat.Ini antara tips yang boleh mak ayah boleh amalkan untuk didik anak cintakan dan mampu menghafal Quran sejak dari kecil.

#Tips 1: Memainkan cakera padat video (VCD) surah yang perlu dihafal.

Ibubapa boleh memainkan cakera padat video Al-Quran di rumah atau di dalam kereta ketika hendak ke mana-mana. Memainkan VCD surah-surah Al-Quran pada setiap masa mampu menimbulkan minat anak-anak terhadap surah yang diperdengarkan. Anda boleh memulakan memperkenalkan dengan surah-surah pendek terlebih dahulu.

#Tips 2:Meningkatkan memori atau daya simpan maklumat dalam otak kanak kanak sejak hari pertama dilahirkan

Sebenarnya otak kanak-kanak sudah sangat bersedia untuk menerima apa saja pembelajaran sejak lahir. Otak mereka pada waktu ini ibarat span yang amat mudah menyerap air. Malah mengikut kajian sains, pada usia dua tahun, kapasiti otak kanak-kanak menyamai 80 peratus otak dewasa. Sebab itulah usia tersebut adalah paling sesuai untuk dimulakan latihan menghafaz.

#Tips 3:Mendahulukan mengajar Al-Quran berbanding membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jangan terlalu risau anak anda berkemungkinan tidak dapat membaca.

Hal ini penting bagi ibubapa yang benar-benar inginkan anak yang mampu menghafaz Al-Quran dengan baik. Mengajar banyak perkara sekaligus berkemungkinan menjadikan anak-anak keliru dengan apa yang dipelajari serentak. Fokus anak-anak juga pastinya teralih kepada sesuatu selain hafazan mereka.

#Tips 4:Memulakan dengan menghafal sebelum mengenal huruf Al-Quran

Mengikut kajian sains, kanak-kanak yang belajar menghafal akan meningkatkan kuasa otak kiri mereka. Otak kiri bertanggungjawab untuk menganalisa secara analitikal seperti sains, matematik dan bahasa manakala otak kanan pula bertindak untuk berfikir secara holistik seperti perkara berkaitan seni dan muzik. Ramai juga huffaz (penghafal quran) daripada kalangan orang buta. Ini bermakna seseorang yang tidak mengenal huruf juga boleh menghafal al-Quran dengan baik.

#Tips 5:Biasakan memperdengarkan surah daripada Al-Quran ketika anak sedang tidur

Menurut satu kajian luar negara, memperdengarkan lagu dengan irama yang perlahan ketika bayi tidur mampu meningkatkan kemampuan memori si bayi tersebut. Oleh itu, pilihlah audio bacaan Al-Quran yang dibacakan secara jelas dan perlahan-lahan.

#Tips 6:Gunakan daya kreativiti ibu bapa untuk menarik minat anak-anak terhadap Al-Quran

Kad imbasan juga boleh digunakan untuk membantu menarik minat anak-anak. Sebagai contoh, bayi berusia setahun akan membuatkan ibu bapa terpaksa menarik perhatian bayi mereka untuk menyebut setiap kad imbasan kerana pada waktu ini, mereka dalam peringkat suka meneroka dan mula melakukan pelbagai kerja sendiri dan kurang fokus terhadap apa yang ibubapa inginkan. Ini lebih ketara untuk kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

#Tips 7:Tidak membanding-banding kemampuan anak lelaki dan anak perempuan

Anak lelaki dan perempuan mempunyai cara belajar berbeza. Berbanding anak perempuan, anak lelaki lebih nakal dan kurang daya tumpuan. Masalah pelat juga lebih dialami kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Sebab itulah lebih perhatian diperlukan terhadap anak lelaki.

#Tips 8:Menggalakkan anak-anak menghafal surah sebanyak yang mungkin mengikut kemampuan mereka

Semakin panjang dan semakin banyak surah yang dihafal, semakin tinggi kekuatan memori mereka. Jika mereka telah selesai menghafal sesuatu surah, minta mereka teruskan dengan surah yang lain pula..

#Tips 9:Sentiasa meminta anak-anak mengulang semula membacakan apa yang telah mereka hafal.

Kaedah mengulang ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, bahkan orang dewasa juga. Mengulangi dengan kerap apa yang telah dihafaz mampu mengubah memori jangka pendek menjadi memori jangka panjang juga! Ini juga boleh dilakukan dengan menvisualkan setiap ayat Al-Quran yang ingin dihafaz..Practices make perfect..InsyaaAllah..

#Tips 10:Memberikan ganjaran apabila anak-anak berjaya melakukannya

Sesekali berikanlah ganjaran kepada anak-anak yang berjaya menghafaz walaupun sekadar satu surah. Ganjaran bukanlah berbentuk material semata-semata. Apa kata hadiahkan anak anda dengan satu ciuman dan pujian dan doakanlah kejayaan mereka bersama-sama mereka agar mereka juga tahu segala usaha mereka sangat dihargai anda. InsyaaAllah..

Selain tips di atas, anda juga boleh membantu menguatkan memori anak-anak yang menghafaz Al-Quran dengan memberikan mereka suplemen yang sesuai untuk menguatkan lagi memori mereka.

Sumber Foto: Metro TV & mau ceria sokmo

Jangan Lupa Komen

Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
KORPORAT   |   POLISI DATA PERIBADI  |  PENAFIAN   |   LANGGANAN   |   PENGIKLANAN   |   KERJAYA   |    HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error:
" "